Assalamualaikum dan salam sejahtera
Dahulu zaman analog sekarang zaman digital, dahulu pakai sempua sekarang kalkulator dah ada. Mudahnya mengira untung dan rugi.
Dahulu membeli hutang buku tiga lima dengan Pak Abu, sekarang boleh hutang dengan kad kredit sampai kad tepu. Mudahnya berhutang di hujung jari.
Dahulu kalau ada hal kematian, kecemasan orang hantar Telegram, sekarang Telegram media berniaga dan bersosial. Mudahnya berita disampaikan sekelip mata.

Berjabat tangan tanda kedua pihak bersetuju dengan sesuatu perjanjian. Ini melambangkan kesepakatan dan kepercayaan kepada sesuatu perkara.
Dahulu bercinta kena wangikan surat menyurat, sekarang bercinta hantar bunga kat whatsapps pun dah terjerat. Mudahnya terjalin cinta maya.
Dahulu nak makan sedap kena masak sendiri sekarang nak makan sedap yang viral dicari. Mudahnya nak memuaskan nafsu sendiri.
Dahulu berfesyen ikut pakaian jual di pekan sehari, sekarang fesyen bertukar setiap hari. Mudahnya bergaya kesana sini.
Zaman berubah tabiat berubah
Banyak sangat yang dahulu kita taat ikuti sudah berubah sesuka hati. Salah kitakah atau menyalahkan putaran zaman? Mudahnya manusia berubah.
Paling ketara dan seolah sudah menjadi kebiasaan apabila manusia moden semakin mudah menipu dan mungkir janji. Janji hanya sekadar janji untuk di taip di hujung jari.

Dari sekecil-kecil penipuan seperti berjanji berjumpa dan tidak menepati janji sehinggalah wujudnya sindiket penipuan dalam talian. Manusia semakin hilang nilai jati dirinya.
Nafsu mudah sudah menguasai jiwa sehingga hilangnya nilai-nilai murni sejati yang mulia. Mudah berjanji mudah dimungkiri.
Berjanji dan tekad untuk menepati
Dahulu apabila kita berjanji untuk bertemu bersua muka semuanya di janji didalam surat menyurat untuk bertemu pada sekian masa dan tempat. Sukarnya berjanji dan begitu sukarnya di mungkiri, mungkir janji suatu perkara yang amat dihindari.
Jika yang berjanji melalui telefon hanya melalui telefon dirumah dan telefon awam untuk termeterainya janji bertemu. Kedua pihak akan memegang janji yang dipateri. Entah bagaimana terjadi tetapi semuanya seolah tekad dihati dan saling menghormati.

Masing-masing tahu mereka kena menghadirkan diri pada waktu yang dijanjikan biar apa pun halangan. Tanpa alasan kerana mereka telah berjanji dan mana mungkin ada cara mahu membatalkan paling tidak wajib hadir seketika jika mahu memohon maaf atau mahu mengundur diri.

Berjanji sekadar untuk di mungkiri
Sekarang semua itu seolah tiada lagi, mudahnya berjanji melalui alam maya dan begitu mudahnya juga kita mengubah atau memungkirinya.
Sering terjadi, di ketika satu pihak sedang bersemangat menunggu tiba-tiba telefon tangan berbunyi, mesej ringkas sahaja: maafkan saya, saya tidak dapat hadir kerana ada masalah begitu begini. Di hiasi dengan ikon sedih kononnya mohon simpati.

Semalam berjanji untuk membeli tetapi hari ini mudahnya berubah hati. Apa nilai janji yang di beri? Siapa yang merasa tidak sakit hati, hanya mampu berkata, bertabahlah hati! Pihak bersetuju dan memungkiri tiada rasa simpati dan rasa bersalah lagi.
Tidak mustahil pihak yang berasa tertipu akan melakukan perkara yang sama kepada orang lain. Maka terjadilah tindakbalas berantai dan akhirnya ia menjadi kebiasaan.
Kalau dulu aku pun biasa terkena alah apalah sangat kalau kali ini aku juga memberi alasan yang sama.
Realiti yang harus di perbaiki
Inilah realiti kehidupan kini semakin hilangnya nilai kesetiaan berpegang pada janji masa. Rapuhnya hubungan bukan sahaja percintaaan malahan rumahtangga dan perniagaan juga.
Semua kerana mudahnya kita mengubah janji dengan teknologi memungkin segalanya. Ayuh kita semua jadikan teknologi pemudah cara bukannya memudahkan setiap perkara.

Teknologi boleh dibeli tetapi nilai murni berpegang pada janji tidak ada nilai jual beli.
Semakin jitu semakin padu, semakin bersemangat aku membaca setiap baris ayatnya. Ternyata setiap perenggan membawa seribu makna. TAHNIAH! Teruskan luahan dan coretan agar ianya menjadi santapan serta pedoman setiap insan.
terima kasih sudi membaca
Manusia Makin Berevolusi Makin Kehadapan..