Assalamualaikum dan salam sejahtera
Minggu ini sekolah berasrama penuh dan juga sekolah rancangan khas berasrama mula menerima kemasukan pelajar Tingkatan 1 dari segenap pelosok tanah air. Inilah waktunya mak dan ayah juga turut sama terkesan emosinya meninggalkan anak memulakan kehidupan baru di asrama masing-masing.
Aku senyum sendirian bila terkenangkan kisah dan karenah anak-anak yang telah melepasi fasa kehidupan di sekolah berasrama penuh kerana aku dulu juga merupakan lepasan pelajar sekolah berasrama.
Kisah kami dahulu lagi mencabar kerana seingat aku mak dan ayah hantar aku masuk ke asrama selepas itu memang tidak pernah mereka datang menjenguk. Semuanya bergantung sepenuhnya kepada pelajar senior dan warden asrama. Maklumlah dahulu sekolah berasrama ini memang ditubuhkan untuk golongan anak-anak luar bandar yang agak cemerlang dan ada potensi menjadi pelajar cemerlang.

Coretan pengalaman
Kita tinggalkan kisah aku itu dahulu, yang aku nak coretkan kali ini adalah pengalaman sebagai ayah dizaman moden ini mengharungi cabaran menghantar anak memasuki sekolah berasrama penuh.
Anak pertama adalah ujian dan guru kepada kita untuk merasai pengalaman amat berharga ini. Yang sulong ini anak perempuan di tawarkan ke MRSM yang terletak di Trolak Perak jauh perjalananan dari Ipoh mengambil masa lebih satu jam.
Sejak menerima surat tawaran pelbagai telahan dan sangkaan yang bermain di fikiran mak dan ayah tetapi cuba di sembunyikan supaya anak tidak melihat kegusaran yang kita fikirkan. Ialah bukan senang nak melepaskan seorang anak di usia baru nak menjangkau 13 tahun, Mujurlah pengalaman aku dan isteri yang sama bersekolah di asrama penuh sedikit sebanyak mampu merancang dan menghilangkan sedikit kegusaran.
Di tahun berikutnya anak kedua juga seorang perempuan mendapat tawaran SBP di Bagan Datok Perak,sebuah kawasan yang jauh dari bandar, penghujung peta aku panggil. Hehehehe. Kali ini lebih mencabar kerana tawaran kemasukan untuk sesi yang ketiga di ketika kita sedang dalam bulan Ramadhan yang ke 13 hari.
Bayangkan bagaimana rasanya mahu menghantar anak ke asrama di bulan puasa, bolehkah dia mengharungi suasana bersahur dan berpuasa dia sekolah? Semua ini dan macam-macam lagilah isu yang kami mak ayah gusarkan.
Tiba giliran anak ketiga pula, kali ini anak lelaki pula. Apa karenahnya pula kali ini. Dia mendapat tawaran SBP di Tapah Perak, kali ini agak berdekatan dengan rumah kami jadi senanglah nak menjenguk di hujung minggu. Itu antara perkara awal yang aku fikirkan kerana membandingkan dengan kakaknya di Bagan Datok yang kadang-kadang rasa serik nak ke sana di buatnya. Jauh sangat rasa perjalanan nak sampai ke SBP Bagan Datok.
Asrama mengubah anak menjadi lebih matang
Kini ketiga-tiga mereka sudah pun melanjutkan pelajaran di universiti tempatan, yang sulong di UITM Terengganu adik perempuannya di UNITEN begitu juga yang lelaki baru tamat semester pertama di UKM Bangi . Hilang segala rasa penat dan perit menghantar dan menziarah mereka setiap minggu dan setiap bulan apabila melihat kesemua mereka sudah selangkah ke alam dewasa dan dilandasan yang lebih baik.
Kini adik-adik yang di peringkat bawahan melihat kakak dan abang mereka sebagai idola untuk mereka juga mengharungi cabaran di sekolah berasrama penuh. Dua orang anak perempuan aku sedang bersekolah di sekolah asrama sekarang ini.
Mari aku kongsikan serba sedikit pengalaman yang boleh dijadikan panduan atau tips bagaimana menghadapi situasi anak-anak menangis dan merayu supaya mereka tidak di masukkan ke sekolah berasrama atau mohon ditukarkan ke sekolah harian biasa.
Lumrah manusia mudah terkesan tambahan pula apabila melihat dan mendengar tangisan seorang anak di depan mata dan lagi sayu apabila anak menelefon menangis-nangis minta itu ini dan mengadu berbagai masalah cerita kepada mak dan ayah, hati mana yang tak sedihkan.
Tips berkesan yang boleh di guna pakai
Tips pertama adalah : Ibu dan ayah sebenarnya yang perlu kental, kena lepaskan anak-anak dari hati kita dan banyakkan berdoa semoga mereka ini tabah mengharungi cabaran. Jika anak-anak tidak biasa untuk menggosok baju sendiri ajarkan biar dia buat didepan kita dan kita bagi galakan dan panduan. Begitu juga cara membasuh pakaian, menyidai dan melipat bantu dia semasa dirumah supaya dia tidak kekok di asrama nanti..
Nasihatkan dan terangkan kepada anak-anak supaya mereka bersedia dan memahami bahawa mak dan ayah bukan tak sayangkan kalian dengan menghantar masuk asrama tetapi kerana kami sangat sayangkan kalian lah kami hantar masuk ke asrama.
Berikan contoh saudara mara atau kenalan terdekat yang mereka kenal yang mencipta kejayaan hasil didikan sekolah berasrama. Sejak awal nayatakan bahawa asrama adalah sebuah pusat latihan yang bersistematik untuk melatih anak-anak terpilih menjadi insan hebat dimasa akan datang. Katakan juga,dirumah susah nak jadualkan pembelajaran kerana ada macam-macam gangguan tetapi di asrama boleh belajar bersama rakan sebaya dan memang menyeronokkan.
Ayah dan ibu yakin kalau “sebutkan nama anak” masuk ke sekolah berasrama peluang untuk pergi keperingkat universiti lebih cerah. Masuk dahulu rasai pengalaman hidup bersama rakan sebaya, mereka yang lain pun sama juga datang ke asrama seorang diri,nanti mesti ada jumpa kawan yang sama kepala dengan kita, percayalah.
Ayah dengan mama dahulu duduk kampung lagilah susah nak bertemu dengan mak ayah selepas masuk asrama, tetapi kerana didikan asrama inilah kami jadi insan yang lebih kuat berbanding orang lain. Jaringan kawan-kawan kami sekarang ini ada bermacam bidang pekerjaan dan tinggal di merata tempat, berjawatan penting dan yang paling bestnya kami semua dah macam adik beradik.
Membesar bersama selama 5 tahun diasrama memang dah faham sangat perangai kawan-kawan kita ini. Memang syoklah duduk sekolah asrama penuh. Ini antara ayat-ayat membakar semangat anak-anak kami untuk mereka kekal di asrama.
Jangan mudah terpedaya pujuk rayu
Tips kedua jika ada anak-anak yang merayu memujuk minta di tukarkan kembali ke sekolah biasa, berikan mereka tempoh. Contohnya ayah dan habis duit bayar yuran masuk kesini kalau “sebutkan namanya” nak pindah sekolah lain kena tunggu tempoh lebih sebulan baru boleh tukar. Sekarang ini tak boleh kita senang-senang nak tukar sekolah macam tu sahaja nanti ayah tak boleh mintak duit yuran dikembalikan.
Ini antara alasan yang aku guna pakai semasa anak lelaki aku meragam menangis mohon ditukarkan balik kesekolah biasa. Okaylah ayah mama janji akan cuba melawat “sebutkan nama anak” paling kurang pun 2 minggu sekali. Kalau ada masa ayah mama lawat setiap minggu. Nanti ayah cuba tanya Pengetua macam mana cara nak buat pertukaran dan pada masa sama pakatlah dengan guru atau warden supaya dilengahkan.
Perkara biasa sebenarnya apabila anak-anak mengadu pelbagai masalah dan cerita sedih mereka ,waktu inilah ayah dan ibu kena kental. Mereka memang sengaja buat begitu untuk menarik perhatian dan simpati kita dengan harapan mak ayah akan terbeli jiwa juga akhirnya.
Kita mesti mendengar apa yang mereka katakan dan jangan bangkang tetapi gunakan kaedah pujuk dan kita harus berlakon pura-pura cuba memahami masalah mereka itu. Janganlah mak ayah pula sama naik pergi jumpa guru kanan atau warden mengadu sama macam apa yang anak-anak katakan memang tak jadilah rancangan kita.
Tipu muslihat berguna
Tips ketiga, katakan kepada anak “sebut nama guru” dah tahu cerita “nama anak” ada masalah begitu begini. Ayah dan mama dah ceritakan masalah kamu dan cikgu akan tolong tengokkan dan bantu jika ada masalah. Jika berkesempatan bolehlah berjumpa PK HEM atau warden bawak anak sekali untuk menunjukkan kita ini prihatin.(walau sebenarnya banyak kali aku tak jumpa pun guru berkenaan). Hehehehe..ini cuma tipu muslihat untuk kita melihat anak berasa lebih yakin kerana ada guru yang mereka rasakan kenal ayah ibu dan dirinya.
Alhamdulillah berkata kesabaran dan kekentalan kami berjaya mengubah dan membentuk anak kami dari seorang yang penakut,pemalu dan pasif menjadi mereka yang sangat proaktif.
Anak sulong yang dahulunya pemalu dan pasif berupaya memegang jawatan sebagai Exco Badan Wakil Pelajar di MRSM. Anak yang kedua meskipun berfizikal kecil menjadi atlet sekolah dan daerah. Menjadi pelajar cemerlang dan dinobatkan sebagai Tokoh Murid pada tahun akhir mengalahkan calon lelaki dan menjadi sejarah pertama murid perempuan pertama memegang gelaran tersebut.
Anak lelaki pula yang dahulunya menangis merayu minta ditukarkan kembali kesekolah harian. Dahulunya seorang yang penakut dan pemalu menjadi salah seorang juruacara majlis di acara-acara penting sekolah dan salah seorang pelakon teater . Juga pemain hoki sekolah sehingga ke peringkat daerah.
Kita yang mengemudi
Walau apa tips sekali pun,kita sebagai ibu dan ayah perlu ada sedikit pengetahuan menangani cabaran ini dan perlu lebih kental kerana cabaran sebenarnya adalah melepaskan rasa berat dihati setiap kali melihat dan mendengar anak mengadu pelbagai cerita. Tekadkan semangat kerana kita yang merencanakan anak-anak kita di kala mereka masih sangat mentah untuk memahami proses kehidupan di sekolah berasrama.

Kini ketiga-tiga anak aku sangat berterimakasih kerana kami mak ayah yang berkeras dan bersusah payah melayan karenah mereka. Mereka kini sudah mulai memahami dan sedar betapa berharganya pengalaman kehidupan di sekolah asarama apabila mereka bergaul dengan rakan lain. Mereka lebih mudah berdikari dan menonjol berbanding pelajar lain. Mereka kini masing-masing memegang jawatan penting di Kelab Sukan mahupun pertubuhan pelajar di universiti masing-masing.
Semoga perkongsian ini memberi manafaat buat kita semua dan andainya anak masih tidak mahu juga lebih baiklah disekolahkan sahaja di sekolah harian biasa. Janganlah kerana kita mak ayah yang dahulu bercita-cita nak masuk asrama tapi tak kesampaian kononnya nak sempurnakan hajat. Nanti anak hilang punca dan mak ayah yang merana.
Leave a Reply