Jam menunjukkan pukul 6.30 petang, hujan yang tadinya lebat sudah mulai reda, namun masih kuat renyai-renyainya. Aku duduk di ruang tamu sambil menonton rancangan di televisyen, tiada apa yang menarik.
Tiba-tiba Misha yang duduk sebelah aku bangun dan matanya tajam melihat ke luar rumah melalui pintu hadapan. Siapa tu ? Terlontar suara darinya. Aku bingkas bangun dan memandang terus ke hadapan rumah. Tiada siapa pun yang kelihatan di situ, hanya pohon buluh yang bergoyang di tiup angin.
Aku memandang ke muka Misha, mana ada siapa kat luar tu. Matanya masih tajam memandang keluar sambil mulutnya tersenyum senget. Aku berpaling sekali lagi keluar melihat sekali lagi, memang tiada sesiapa pun.
Memang lumrah perangai Misha sangat sensitif dan mudah merasa kehadiran tetamu. Kami menganggap Misha seperti doorbell kerana jika ada tetamu yang hadir belum sempat tetamu itu bagi salam, dia dulu sudah menjerit Assalamualaikum dari dalam rumah. Bila dia bagi salam begitu tandanya ada orang datang bertandang.

Tetapi kali ini lain, dia tak jerit salam tetapi memandang keluar dan bertanya siapa tu? Ahh, ini bukan orang ni, hati aku berdetik. Adik-adik yang lain memang sudah awal-awal lagi lari ke dalam bilik, mereka tahu Misha dapat melihat sesuatu.
Misha berjalan laju ke muka pintu seolah hendak keluar rumah, aku pantas memintas dan menahan dia kerana aku bimbang dia lari keluar pagar. Dia biasa buat begitu bila tantrumnya datang.
Situasi sekarang aku menghadap bertentangan dengan Misha dan dia masih menghadap ke luar. Sempat aku menutup gril pintu dan dia tidak dapat keluar. Siapa ni? Dia menunjuk di belakang aku, serta merta seluruh tubuh badan ku meremang.
Berbagai perasaan bercampur baur ketika itu, kalau aku toleh kebelakang apakah yang akan aku lihat? Hujan pula semakin lebat, sesekali petir menyambar. Mungkinkah ada makhluk lain yang mahu menumpang teduh?
Teringat aku ilmu yang di ajar oleh bapa saudara aku, nak cubalah. Aku memandang tepat ke Misha dan mula fokus minda untuk mendapat ilham apa sebenarnya yang mendatang. Dari gerak rasa dan sekilas itu juga terlintas gambaran seorang perempuan tua bertongkat sedang senyum memandang Misha. Ooo..kamu rupanya. Apa yang kamu mahu ?

Aku menukarkan diri aku menjadi umpama seorang raja dan berkata kepada dia, pergi dari sini jangan ganggu anak aku, kau tahu aku siapa kan! Gertak aku pada makhluk berwajah putih itu, dia cuba mengalih pandangan tetapi sekali ini aku menghunus pedang dan aku gertak dia, kau jangan cari pasal dengan aku!
Kali ini dia benar-benar takut terus menunduk dan mendengus, perlahan dia pergi menghilang. Baiii kata Misha panjang. Fuhh lega dia dah pergi.
Umpama cerita drama seram pula, berlaku depan mata, sukar nak digambar dan diceritakan. Sebenarnya kerana Misha lah aku belajar serba sedikit ilmu perubatan alternatif menyelami dunia mistik demi untuk keluarga dan anak-anak. Kini aku boleh lah serba sedikit bercerita dari segi sainsnya tentang dunia mistik atau alam jin ini.
Lain kali aku cerita lagi kisah Misha berkomunikasi dengan makhluk entah apa lah semasa kereta melalui kawasan kubur, lagi seram tau. Doakan kami sekeluarga tabah mengharungi cabaran dan dugaan menjaga Amisha Hani, insan istimewa.
Leave a Reply